Tuesday, 14 June 2011

Membangunkan Rohani Berpandukan A Quran..(^_^) ~ Kita Kongsi Bersama

Cahaya al-Quran menyinari seluruh dunia sebagai petunjuk dan pedoman hidup bagi peribadi yang menghendaki ketenteraman, kedamaian dan kebahagiaan. Ia juga memberi petunjuk dan pedoman mengenai sistem berkeluarga, bermasyarakat bahkan bernegara." 

Al-Imam Ghazali berkata dalam kitabnya Ihya Ulumuddin: 
"Segala macam ilmu pengetahuan, baik yang terdahulu, sekarang, akan datang, semuanya berpunca daripada al-Quran." 
Inilah al-Quran dan kalam serta wahyu Allah. Ia diturunkan kepada Rasulullah untuk kaum Muslimin supaya diikuti dan dipatuhi. 

Sabda Rasulullah bermaksud: "Telah aku tinggalkan kepadamu perkara yang apabila kamu tetap berpegang teguh kepadanya, kamu tidak akan sesat selama-lamanya, iaitu kitab (al-Quran) dan sunnah rasulnya." 

Sejarah membuktikan, sejak al-Quran diturunkan pada malam 17 Ramadan di Gua Hira', 1,400 tahun lalu, berjaya mengubah manusia yang dikenali sebagai umat jahiliah yang hidup tanpa sebarang peraturan dan sistem akhlak kepada umat terbaik dan dicontohi dalam segala bidang. Hal ini dibuktikan oleh Rasulullah. Selama 23 tahun memimpin umat Islam berpandukan al-Quran, Islam menjadi agama yang kuat dan dinamik. 

Ajarannya amat bersesuaian dengan fitrah kejadian manusia. 

Bukan setakat mampu membangunkan kekuatan rohani, malah menggerakkan secara aktif kekuatan fizikal dan material umat. 

Ia menjadikan umat Islam pada zaman kepemimpinan Rasulullah dan khalifah Al-Rashidin berjaya mencipta satu tamadun baru kepada dunia. Tamadun yang berasaskan kepada kekuatan akidah, ilmu, akhlak dan amal hingga berjaya meruntuhkan dua tamadun besar dunia pada ketika itu iaitu Rom dan Parsi. 

Firman Allah bermaksud: "Dan kami turunkan dengan beransur-ansur daripada al-Quran ayat-ayat suci yang menjadi penawar dan Rahmat bagi orang yang beriman, dan (sebaliknya) al-Quran tidak menambahkan (apa-apa) kepada orang yang zalim (disebabkan keingkaran mereka) melainkan kerugian semata-mata." (Surah al-Isra', ayat 82) 

Dalam memahami ayat itu, Imam Muhamad Al-Razi dalam tafsirnya Al-Fakhul al-Razi menjelaskan bahawa al-Quran adalah penawar yang boleh menyembuhkan penyakit rohani dan jasmani. 

Penyakit dibahagikan kepada dua bahagian. Penyakit iktikad yang batil dan sesat serta penyakit akhlak yang buruk. 

Beliau menjelaskan seterusnya bahawa yang dimaksudkan dengan iktikad yang batil dan sesat itu ialah pegangan salah terhadap masalah ketuhanan, kenabian atau sehubungannya. 

Al-Quran itu lengkap dengan peraturan bagi jalan hidup yang benar, selaras kehendak Allah dan nabinya serta qada dan qadar Allah. Rohani mereka rosak dan ubat yang boleh menyembuhkan penyakit seumpama itu adalah al-Quran. Al-Quran tidak menjadi ubat bagi orang ingkar dan zalim. 

Sabda Nabi bermaksud: "Barang siapa yang tidak dapat mengubati penyakit dengan al-Quran, maka Allah tidak akan menyembuhkan penyakitnya." 

Berdasarkan sabda ini, maka penyakit dan keburukan akhlak serta pelbagai penyakit masyarakat lain, seperti tidak amanah, najis dadah dan arak adalah penyakit yang tidak mungkin dapat diubati dengan cara lain selain al-Quran, yang perlu dibaca dan diamalkan. 

Selagi al-Quran tidak diamalkan dalam erti kata sebenar, maka semua penyakit itu tidak akan dapat diubati. 

Apa yang harus menjadi perhatian dan pengajaran kepada kita adalah andainya al-Quran yang mengandungi wahyu Ilahi tidak diambil sebagai pegangan hidup, maka Allah akan menghapus dan mengambilnya kembali daripada tulisan dan ingatan kita. 

Perkara ini seperti ditegaskan Allah melalui firman-Nya bermaksud: "Dan sesungguhnya jika kami menghendaki, nescaya kami lenyapkan apa yang telah kami wahyukan kepadamu, dan dengan penyelapan itu kamu tidak akan mendapat seorang pembela pun terhadap kami." (Surah al-Isra', ayat 86) 

Rasulullah dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Umar, maksudnya: "Tidak berlaku kiamat hingga al-Quran kembali kepada Allah seperti mana ia datang. Kedengaran kepadanya dengungan seperti dengung suara lebah, lantas Allah bertanya kepadanya: Kenapakah pula kamu kembali kepada-Ku? Maka al-Quran menjawab: Wahai Tuhanku, daripada-Mu aku datang dan kepada-Mu juga aku kembali, aku dibaca tetapi tidak diamalkan, aku dibaca tetapi tidak diamalkan." 


Sesungguhnya al-Quran mempunyai tiga hak yang wajib ke atas umat Islam untuk menunaikannya:- 

Pertama, hak untuk membaca dan bertilawah kepadanya.

Kedua, hak untuk bertakbir atau memahami makna dan menjiwai kehidupan.

Ketiga, hak untuk beramal dengan seluruh isi kandungannya.



Wallahualam..sebagai perkongsian buat semua..hehe..

0 comments:

Post a Comment